Pages - Menu

Barat dan Globalisasi

Globalisasi yang dipelopori oleh Barat sebenarnya membawa kepada pelbagai definisi dan penafsiran dari berbagai sudut pandangan. Definisi umum yang dipegang oleh sebahagian daripada kita menafsirkannya sebagai proses pengecilan dunia atau menjadikan dunia sebuah perkampungan yang kecil. Sebahagian kita yang lain menafsirkannya sebagai usaha menyatukan masyarakat dunia dari segi gaya hidup dan budaya. Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia dibawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet,media elektronik,dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan diantara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Beberapa definisi Globalisasi menurut pandangan sarjana Barat;
1. Oscar Ugarteche.
Globalisasi ditakrifkan sebagai pertumbuhan dalam kegiatan ekonomi yang merentasi sempadan kebangsaan (nasional) dan kerantauan. Ia dizahirkan dalam meningkatnya pergerakan barangan dan perkhidmatan menerusi perdagangan dan pelaburan serta (pergerakan) manusia merentasi sempadan-sempadan tersebut. Ia juga terzahir dalam pertukaran maklumat (informasi) pada masa sebenar. Ia dipacu oleh pelaku-pelaku individu ekonomi yang mencari lebih banyak keuntungan ekonomi persaingan yang semakin menekan.
2. Trezzini
Mentakrifkan globalisasi sebagai integrasi ekonomi dunia yang mendalam dan meluas melalui hubungan pengeluaran dan penggunaan.
3. Mittelman (1996)
Suatu fenomena sejagat. Globalisasi ialah cantuman pelbagai jenis proses rentas sempadan dan pelbagai struktur dalam negeri yang membolehkan ekonomi, politik, budaya dan ideologi sesebuah negara menembusi (ekonomi, politik, budaya dan ideologi) negara-negara lain.
4. Martin Albrows
Memberi definisa globalisasi sebagai merujuk kepada semua proses yang dengannya manusia di seluruh dunia dihimpunkan masuk menjadi satu masyarakat dunia, masyarakat global.
5. Anthony Giddens

Anthony Giddens pula mendefinisikan globalisasi sebagai proses menjadikan intensifnya hubungan sosial seluruh dunia yang menghubungkan tempat-tempat yang jauh dengan sedemikian rupa sehingga peristiwa-peristiwa tempatan dibentuk oleh peristiwa-peristiwa (lain) yang berlaku beberapa batu jauhnya dari tempat itu atau demikian sebaliknya.