Pages - Menu

Islam Dan Globalisasi

Globalisasi Menurut Pandangan Sarjana Islam.
1. Dr. Muhammad Abid al-Jabiri
Dr. Muhammad Abid al-Jabiri menyatakan globalisasi berasal dari bahasa Perancis iaitu monodialisation yang pertama kali muncul di Amerika Syarikat. Ia bererti menjadikan seseuatu berskala internasional, iaitu memindahkan sesuatu dari yang terbatas kepada sesuatu yang tidak terbatas. Jadi, globalisasi mencakup erti penghapusan batas-batas wilayah sesebuah negara dalam interaksi ekonomi (kewangan dan perdagangan) dan membiarkan semua permasalahan bergerak bebas di seluruh dunia. Dari pemahaman ini, maka batas negara, nasionalisme, atau umat harus dilenyapkan. Seterusnya menurut Dr. Muhammad Abid lagi, kita boleh menyatakan bahawa propaganda globalisasi ini jika dilaungkan oleh suatu negara atau kelompok, ia bererti generalisasi pola hidup yang tradisinya (sebelumnya) menjadi karekter khas negara atau kelompok, menjadikannya menembus batas dunia seluruhnya. Bagi Dr. Muhammad Abid, globalisasi bolehlah dianggap sebagai Amerikanisasi yang bererti sosialisasi gaya hidup Amerika.
2. Dr. Taha Jabir al-Alwani
Dr. Taha Jabir al-Alwani menyatakan bahawa globalisasi ialah usaha pihak yang mempunyai kuasa dan pengaruh (global power) untuk mewujudkan centralization iaitu memaksa agenda ekonomi, politik dan sosial mereka kepada pihak yang lemah. Superpower tersebut akan memimpin dan memandu negara-negara lain dalam acuan yang telah disediakan dengan meletakkan mereka sebagai pusat dan pihak lain sebagai pinggiran.
3. Prof. Chandra Muzaffar

Globalisasi adalah suatu proses yang melibatkan negara, modal, perkhidmatan, sebahagian pekerjaan yang merentasi sempadan dan memerlukan pemindahan dan perubahan yang bersifat nasional.

Globalisasi adalah suatu proses yang melibatkan negara, modal, perkhidmatan, sebahagian pekerjaan yang merentasi sempadan dan memerlukan pemindahan dan perubahan yang bersifat nasional.
Ciri-ciri Globalisasi
1. Bersifat tanpa batasan
Dunia tanpa sempadan menjanjikan pelbagai peluang dan dugaan yang bakal dimanfaatkan oleh manusia. Ia juga sebagai suatu proses di mana sempadan negara-negara termasuk negara umat Islam semakin runtuh dan seluruh alam ini semakin berubah menjadi suatu unit. Menurut Marshall McLohan, dunia persis sebuah kampung. Segala hambatan dan sekatan perbatasan yang lalu telah berjaya dilangkau.
2. Wujud Unsur-unsur Sains dan Teknologi
Sifat globalisasi yang berasaskan unsur-unsur sains dan teknologi merupakan tempias daripada kehebatan dan kecanggihan teknologi maklumat dan komputer serta teknologi komunikasi dan satelit yang mendominasi ruang lingkup hidup manusia kini. Ini bermakna mana-mana masyarakat di planet Bumi ini terdedah secara terus-terusan kepada terobosan apa juga bentuk penyiaran asing tanpa boleh dibuat sebarang tapisan secara berkesan.
3. Wujudnya Elemen Dominasi (Penguasaan)

Globalisasi juga bersifat dominasi iaitu penguasaan sesuatu pihak ke atas pihak yang lain. Elemen dominasi bukanlah suatu perkara baru, malahan sudah lama wujud dan bertapak. Ini kerana, pemikiran Barat adalah pusat dan paksi dunia. Kepercayaan itulah yang dijadikan justifikasi terhadap dominasi Barat ke atas rantau lain yang dianggap sebagai daerah pinggiran. Dominasi ini bukan sahaja melibatkan aspek tamadun, malahan aspek budaya, politik, ekonomi dan sebagainya

Isu Globalisasi atau dunia tanpa sempadan sedang hangat dibincang dan dibahaskan di seluruh dunia. Apa yang kita faham mengenai dunia tanpa sempadan ini adalah negara-negara lemah akan dengan mudah dilemahkan lagi kerana ketiadaan daya saing terutamanya dalam pasaran terbuka. Umat Islam, yang rata-ratanya mewakili bahagian dunia yang lemah harus mula memikirkan di manakah kita dan bagaimanakah kita akan menempuh arus globalisasi ini. Reaksi yang berbagai mengenai arus ini dapat kita saksikan di media-media massa. Ada yang menunjuk perasaan menentangnya, ada yang beria-ia mempertahankannya, dan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah memilih untuk berhujah secara diplomasi di mana-mana kesempatan yang diberikan di arena antarabangsa mengenai keburukan globalisasi yang jelas menandingi kebaikan. Nampaknya, hanya Malaysialah satu-satunya negara Islam yang lantang mempertahankan kepentingan rakyatnya sekaligus rakyat di negara membangun dan miskin di seluruh dunia. Perkembangan dan penyebaran Islam telah lama membawa perubahan dan kekuatan kepada ummah di peringkat global. Tamadun yang dicapai oleh orang-orang Islam lebih jauh di depan dan lebih awal daripada tamadun Barat. Malahan, ilmu pengetahuan dan kemajuan yang dicapai oleh orang-orang Islam itu dibawa ke Barat dan dikembangkan sehingga orang-orang Barat berusaha pula bersaing dengan orang-orang Islam. Islam telah sekian lama memainkan peranan di peringkat internasional dan telah berjaya dalam menyebarkan pengaruhnya secara global.